Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan
MUKIM KOTA BATU, Rabu, 28 Mei. - Dalam sama-sama menyemarakkan Malam Takbir Hari Raya Aidiladha, Kementerian Pertahanan baru-baru ini telah mengadakan Program Jangkauan dengan tumpuan majlis berlangsung di Masjid Kampung Pudak, Mukim Kota Batu.
Hadir pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan warga Kementerian Pertahanan, di samping jemputan khas termasuk Penghulu Mukim Kota Batu dan Ketua Kampung Pudak.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Kampung Pudak, Awang Mohammad Akmal Syahmi bin Shahri.
Antara pengisian majlis ialah penyampaian hamper Hari Raya dan sumbangan daripada Tabung Infaq Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) kepada golongan asnaf di Kampung Pudak.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian tazkirah bertajuk 'Takbir Mengiringi Keimanan' yang disampaikan oleh Guru Ugama dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Awang Muhammad Nur Amin bin Haji Jali, sebelum diteruskan dengan laungan Takbir Hari Raya.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Program Jangkauan berkenaan merupakan salah satu pembaharuan dalam aktiviti bermasyarakat yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan di seluruh daerah, melibatkan Masjid Kampung Pudak dan Masjid Kampung Pulaie di Daerah Brunei dan Muara; Masjid Kampung Benutan dan Masjid Kampung Keriam di Daerah Tutong; Masjid Pekan Seria dan Masjid Al-Mashor Kampung Sungai Mau di Daerah Belait; serta Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar dan Masjid Pengiran Haji Abu Bakar, Kampung Bokok di Daerah Temburong.
Acara serupa turut diadakan secara serentak di seluruh surau perkhemahan ABDB termasuk di Masjid Pulau Baru-baru.
Program Jangkauan ke Masjid Kampung Pudak berkenaan juga merupakan kesinambungan daripada Projek Titian Amal yang telah dilaksanakan oleh Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-64 yang lalu, melibatkan kerja-kerja pembaikan menara masjid berkenaan.
Penganjuran majlis berkenaan bukan sahaja menjadi wadah untuk mengimarahkan malam Hari Raya Aidiladha melalui laungan takbir dan perlaksanaan ibadah-ibadah sunat, malah turut mengukuhkan silaturahim antara warga Kementerian Pertahanan dan masyarakat setempat dalam menzahirkan rasa syukur atas segala nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala.